Saturday 23 July 2016

Pengurusan dan Pentadbiran menurut Islam beserta dalil


pengenalan  kepada  PENGURUSAN   dan   pentadbiran   dalam    ISLAM

Pengurusan dan pentadbiran dalam adalah satu aspek yang penting dalam kehidupan manusia. Oleh itu, Islam mempunyai pandangannya tersendiri mengenai perkara tersebut. Pengurusan Islam bukanlah satu bentuk pengurusan yang baru muncul tetapi telah lama muncul walaupun bukan dalam bentuk satu institusi keabjikan, syarikat atau organisasi khusus. Sebaliknya, ia telah lahir dalam bentuk pengurusan negara, empayar dan pembinaan ummah.


DEFINISI  PENGURUSAN  dan  pentadbiran  dalam   ISLAM

DEFINISI PENGURUSAN DALAM ISLAM

     Pengurusan dan pentadbiran diperlukan di dalam semua organisasi, tidak kira sama ada organisasi itu kecil atau besar, swasta atau badan kerajaan. Fungsi pengurusan bukan saja merupakan tanggungjawab seorang pengurus besar atau pengarah tetapi juga tanggungjawab penyelia atau ketua bahagian yang berada di dalam organisasi.

    Pengurus mempunyai pelbagai definisi yang diberikan oleh sajana-sarjana pengurusan. Ada kalanya pengurusan dirujuk sebagai satu proses,yang merupakan usaha pengurus merancang dan menggunakan segala keupayaan untuk mencapai matlamat.
    Di dalam pengurusan Islam , terdapat beberapa sarjana-sarjana Islam telah mengutarakan definisi     pengurusan. Di antaranya :

a) Profesor Syed Othman Alhabshi
     Pengurusan merupakan suatu proses mendapat dan mencantumkan sumber-sumber kewangan, modal, tenaga manusia dan sebagainya untuk mencapai matlamat organisasi sama ada dalam bentuk barangan atau perkhidmatan.

b) Muhammad A. Al-Buraey
     Pengurusan merupakan penyelarasan tenaga manusia untuk mencapai matlamat kelompok sebagai makhluk sosial yang perlu berinteraksi antara satu sama lain.

c) Wan Azmi
    Berpendapatan bahawa pengurusan adalah satu aktiviti perancangan dan pergerakan  atau panduan oleh sesuatu perusahaan atau organisasi berhubung dengan segala kaedah, peraturan, juga tanggungjawab dan tugas-tugas kakitangannya itu.

DEFINISI PENTADBIRAN DALAM ISLAM

    Menurut Kamus Dewan, pentadbiran bererti perbuatan melaksanakan urusan mengelola atau menjalankan sesuatu pejabat, kerajaan dan lain-lain lagi. Dengan kata lain pentadbiran ialah satu perlakuan untuk mengurus atau bertindak sebagai ejen dalam hal-ehwal fungsi pemerintahan atau fungsi kerajaan. Pengurusan membawa makna atau konsep betul dan cekap.Memanglah tepat kalau kita mengatakan bahawa pentadbiran ialah sains pengurusan mengenai pengendalian perjalanan pekerjaan atau sesuatu organisasi dengan betul dan cekap.

Para Sarjana Pengurusan Berpendapatan Bahawa :

“Pentadbiran dan pengurusan memberi pergertian yang sama dari segi pengistilahan.Apabila dibicarakan dalam aspek-aspek pentadbiran tertentu akan dirujuk kepada istilah pengurusan, kerana setiap organisasi atau institusi biasanya mempunyai sistem pengurusannya. Justeru, pengurusan sering dikaitkan dan ditukar pakai dengan istilah pentadbiran”.

a) Ahmad Zaki Badwi:
Pentadbiran membawa maksud menyelaraskan tenaga individu dan Jemaah dengan tujuan mencapai matlamat yang dirancang (merancang,menyusun,mengatur,memberi motivasi,menyelaras,menyampai dan membuat susulan) . Adalah sangat berkait dengan kebolehan pengurusan kerja dan perhubungan pengurusan.

b) Ibnu Khaldun
1.  Pentadbiran islam sebagai suatu kegiatan masyarakat dalam menguruskan hal-hal kemanusiaan, berkumpulan dan bermatlamat.

2. Beliau Berpendapat bahawa pentadbiran adalah suatu konsep asas dalam masyarakat yang bertunjangkan kepada peranan manusia itu sendiri sebagai pemimpin organisasi ataupun masyarakat.

3. Beliau juga menyatakan pentadbiran islam adalah ira sati ad-din wa siyasatun dunya bih (meletakan agama di tempat yang paling tinggi dan mentadbir dunia dengannya)

Maka pengurusan dan pentadbiran islam masa kini dapatlah ditakrifkan sebagai : “ suatu proses penglibatan dan pengalokasi sumber ( tenaga manusia benda dan perkara yang berkaitan )supaya saling bekerjasama dan berfungsi dalam sesebuah organisasi ke arah mencapai sesuatu objektif dan tujuan sama ada yang bermotifkan keuntungan atau tidak ia hendaklah selari dengan ketentuan-ketentuan syariat”.






AYAT AL-QURAN YANG BERKAITAN DENGAN PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN DALAM ISLAM

. Surah As-Sajadah, Ayat 5 : 
     
Image result for surah as sajdah ayat 5

Maksudnya : Allah mentadbirkan makhluk-makhlukNya; (bagi melaksanakan tadbirNya itu Ia menurunkan segala sebab dan peraturan) dari langit ke bumi; kemudian diangkat naik kepada pengetahuanNya (segala yang berlaku dari perlaksanaan tadbirNya itu untuk dihakimiNya) pada suatu masa yang (dirasai oleh orang-orang yang bersalah) banyak bilangan tahunnya menurut hitungan masa kamu yang biasa.

 CIRI-CIRI UMUM PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN DALAM ISLAM

  •  Ikatan yang erat antara pengurusan dengan masyarakat. Ikatan itu ialah akhlak, nilai  masyarakat  dan perubahan masyarakat yang berasaskan akhlak.
  • Pergolakan dan perubahan ekonomi yang memberikan kepuasan fisiologi, individu, ekonomi dan kebendaan.
  • Kemanusiaan dan kerohanian. Ia menghormati hakikat kemanusiaan sebagai insan yang terlibat dengan pengurusan mengikut keupayaan akal, fizikal dan jiwa.
  •  Menentukan tugas dan tanggungjawab. Mematuhi dan menghormati kuasa, peraturan undang-undang rasmi serta carta organisasi dan bukannya melakukan tingkahlaku pengurusan yang baik kerana mengharapkan ganjaran pahala.
  • Contoh ayat al-quran yang berkaitan dengan penerangan di atas:


       Surah Yunus , Ayat : 3

                          Image result for surah yunus ayat 3

Maksudnya : Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa kemudian Ia bersemayam di atas Arasy mentadbirkan segala urusan. Tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi syafaat melainkan sesudah diizinkanNya. (Yang bersifat demikian) itulah Allah, Tuhan (yang memelihara dan mentadbirkan keadaan) kamu; maka tunduklah dan taatlah kamu kepada perintahNya; patutkah kamu - setelah mengetahui kenyataan yang tersebut tidak mahu mengingatiNya?  (http://www.surah.my/10)

CIRI-CIRI KHUSUS PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN DALAM ISLAM

a.    Pengurusan Islam merupakan sebahagian daripada sistem masyarakat bagi menentukan      matlamat hidup dan hubungan masyarakat dan hubungan manusia dengan manusia, manusia dengan  Allah, manusia dengan masyarakat dan hubungan manusia dengan alam. Pentadbiran dan  pengurusan dalam Islam termasuk dalam lingkungan ibadat sebagaimana dijelaskan oleh Allah s.w.t  di dalam Al-Quran:

“Katakanlah : Sesungguhnya sembahyangku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah tuhan semesta  alam”.(Surah Al-An’am : 6:162)

  b.    Islam menjelaskan bahawa pekerjaan dan jawatan khususnya di dalam pengurusan dianggap  sebagai suatu amanah dan tanggungjawab seperti yang dijelaskan di dalam Al-Quran yang  bermaksud :

 “Sesungguhnya Allah s.w.t menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak  menerimanya dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu  menetapkan dengan adil”.(Surah An-Nisa : 4:58)

CONTOH PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN DALAM ISLAM

  • Kepimpinan Islam mengambil kira kedua-dua belah  iaitu pemimpin dan yang dipimpin
  • Walaupun ketua biasanya seorang, tetapi dalam Islam terserlah satu tindakan bersama kerana terdapatnya peluang untuk berbincang,bermesyuarat (syura) dan kebebasan untuk mengeluarkan pendapat yang cukup luas.
  • Islam menonjolkan sikap sederhana dalam setiap perkara. Tindakan perundangan merupakan langkah terakhir yang perlu diambil untuk mengatasi sebarang salah laku yang wujud dalam pengurusan.
  • Konsep menasihati, tegur menegur merupakan langkah awal yang boleh dilakukan untuk mengatasi setiap permasalahan.



CONTOH PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN TERBAHAGI KEPADA 4 :

1-AL-SYURA
2-AL-'ADALAH
3-AL-MUSAWAH
4-AL-HURIYYAH




AMALAN AL-SYURA

• Syura merupakan suatu proses perbincangan, perundingan atau permesyuaratan bagi mencapai permuafakatan dan persetujuan dalam membuat keputusan mengenai sesuatu polisi dan agenda tindakan. Ini sejajar dengan suruhan al-Quran dan amalan Rasulullah s.a.w.

*      “Dan (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami berikan kepadanya”.
            (al-Shura: 38)

*      “…dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan itu), apabila telah tetap keazaman maka bertawakallah kepada Allah”.
             (al-Imran :159)

• Proses syura memberi peluang kepada mereka yang terlibat untuk mengemukakan pandangan secara bebas dan pada masa yang sama menghargai pandangan pihak lain untuk mencapai keputusan yang terbaik melalui partisipasi berbagai-bagai pihak dalam perkara yang menyangkut kepentingan bersama.

• Syura mempunyai limitasi keharusannya, iaitu:
  •  Syura tidak seharusnya diadakan dalam membincangkan perkara-perkara yang telah dinaskan melainkan dalam menentukan cara-cara untuk melaksanakan perkara-perkara yang telah dinaskan tersebut.Contohnya, tidak harus membincangkan untuk melaksanakan atau tidak undang-undang,,tetapi diharuskan berbincang tentang pendekatan yang boleh diambil untuk melaksanakan undang-undang tersebut.

  •  Syura tidak harus diadakan untuk membincangkan perkara-perkara yang jelas bertentangan dengan kehendak-kehendak nas syarak (ketentuan al-Quran dan al-Sunnah).tidak boleh mengadakan perbincangan dan perundingan untuk menghalalkan perjudian    kerana ia dengan jelas bertentangan dengan nas syarak yang telah mengharamkannya.


AMALAN AL-'ADALAH

 1. Keadilan dalam membuat keputusan.
“Dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil”.
 (al-Nisa’ : 58 )

 2. Keadilan dalam pengucapan.
“Dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil sekalipun orang itu ada hubungan kerabat denganmu”.
 (al-Ancam:152)

 3. Keadilan dalam (mengejar) keselamatan.
“Dan peliharalah diri kamu daripada (huru hara) hari kiamat (yang padanya) seseorang tidak dapat mengganti atau melepaskan orang lain sedikit pun, dan tidak akan diterima daripadanya sebarang tebusan, dan tidak akan memberi manfaat kepadanya sebarang manfaat dan orang-orang yang salah itu tidak akan ditolong (dari azab dan sengsara)”. (al-Baqarah:123 )

 4. Keadilan terhadap Allah SWT.

 Tidak syirik dan menyamakan Allah SWT dengan sesuatu. Orang-orang kafir telah melakukan  kesyirikan, ini berdasarkan firman Allah SWT, bermaksud:

“Dalam pada itu, orang kafir menyamakan (sesuatu yang lain) dengan Tuhan mereka.
 (Al-Ancam:1)
 Oleh itu Allah SWT berfirman, bermaksud:
“Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya)”.
 (al-Nisa’ :129)

 5. Keadilan berdasarkan kesempurnaan timbangan dan ukuran.

 Secara umumnya kesempurnaan ini bermaksud (sesuatu benda tertentu itu) sama (dengan yang lain) dari segi timbangan dan saiz. Kesempurnaan demikian adalah baik kesannya bagi manusia di dunia dan di akhirat. Al-Qur’an menggambarkan:

“Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Yang demikian itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik-baik kesudahan (yang mendatangkan pahala di akhirat kelak).
 (al-Isra’ :35)

• Dalam konteks pentadbiran atau pengurusan, keadilan boleh berlaku dalam hal-hal seperti berikut:-

a. Keadilan dalam bentuk yang bersamaan.

 Contohnya, semua kakitangan (lelaki atau perempuan) berhak untuk mendapat pembayaran gaji pada hari yang sama pada setiap akhir bulan.

 b. Keadilan dalam bentuk yang berbeza.

 Contohnya, jumlah imbuhan, gaji, elaun dan ganjaran yang akan diterima oleh setiap kakitangan akan berbeza mengikut tahap perjawatan atau profesion masing-masing.

 c. Keadilan dalam bentuk hak keistimewaan.

 Contohnya, ketua jabatan boleh menggunakan keistimewaan (privilege) untuk mengubahsuai atau menetapkan peraturan dalam pejabat (local rules) demi kebaikan jabatan.

• Keadilan hendaklah menjadi prioriti utama kepada mana-mana sistem pengurusan atau pentadbiran. Tanpa keadilan sesuatu pentadbiran itu tidak akan bermakna dan tidak akan dapat berfungsi dengan sebaik mungkin.

AMALAN AL-MUSAWAH

• Para pentadbir atau pengurus, ketua dan surbodinat, adalah sama disisi peraturan atau undang-undang yang syar’ie, tanpa sebarang pengecualian atau keistimewaan. Tiada sesiapa yang boleh menjatuhkan taraf dan kehormatan orang lain melainkan jika ianya dibenarkan oleh undang-undang.

• Manusia (pekerja atau pengurus) seharusnya diberi persamaan dari segi:
 a. Tanggungjawab terhadap undang-undang.
 b. Tangungjawab terhadap hukuman.
 c. Agihan dan penerimaan kemudahan-kemudahan.

• Prinsip persamaan ini berhubung rapat dengan satu lagi prinsip iaitu keadilan.

AMALAN AL-HURIYYAH

• Seseorang individu itu diberi hak, peluang dan pilihan untuk beragama, berfikir, bersuara, mencari harta, menuntut ilmu, bergerak dan sebagainya mengikut batas-batas undang-undang yang dikuatkuasakan.
• Mengikut undang-undang, seseorang itu itu berhak untuk mendapat kebebasan dalam perkara-perkara berikut:-

a. Kebebasan diri.

• Setiap individu tidak boleh dinafikan hak kebebasan dirinya.
• Setiap individu itu adalah berhak untuk tidak memperhambakan dirinya kepada mana-mana ketuanan.
• Setiap individu berhak untuk mendapatkan perlindungan daripada undang-undang yang dikuatkuasakan dan tidak boleh dinafikan haknya melainkan melalui perintah undang-undang.

 b. Kebebasan beragama.

• Setiap individu juga tidak boleh dinafikan haknya beragama.
• Mereka tidak boleh dilarang daripada menjalani kehidupan beragama, melaksana kan tuntutan agama dan lain-lain lagi.
• Islam sama sekali tidak boleh memaksa penganut-penganut agama lain untuk memeluk agama Islam.

 c. Kebebasan menyuara dan mengeluarkan pendapat.

• Kebebasan menyuara dan mengeluarkan pendapat dalam Islam tidak terhad kepada individu muslim sahaja, malah meliputi yang bukan Islam. Kebebasan tersebut tidaklah mutlak sehingga boleh mengancam kebebasan, kehormatan dan hak-hak individu lain.
• Kebebasan yang diberikan adalah setakat yang dibenarkan oleh undang-undang.
• Kebebasan ini sejajar dengan amalan syura yang dianjurkan oleh Islam. Melalui kebebasan ini, sesebuah organisasi itu akan menjadi bertambah mantap dan kukuh hasil daripada penyaringan berbagai-bagai pendapat yang bernas dan berfaedah.

 d. Kebebasan bergerak dan tiada pembatasan untuk bergerak

• Setiap manusia diberikan kebebasan untuk bergerak dari satu tempat ke suatu tempat yang lain. Mereka tidak sepatutnya dibataskan pergerakan mereka. Namun begitu, jika pembatasan ini terpaksa dilakukan demi keselamatan atau atas kehendak undang-undang, maka individu-individu tersebut hendaklah patuh kepada kehendak-kehendak tersebut.

 e. Kebebasan untuk mencari dan memiliki harta.

• Setiap individu tidak seharusnya dinafi kan untuk bebas dan memiliki harta.
• Pencarian dan pemilikan harta-harta tersebut hendaklah setakat yang dibenarkan oleh undang-undang dan tidak berlawanan dengannya.
• Kebebasan jenis ini hendaklah menjadi keutamaan kepada pihak organisasi atau jabatan dalam ertikata pihak-pihak tersebut hendaklah juga memberikan keutamaan kepada para pekerjanya untuk sama-sama merasai dan memiliki keuntungan syarikat atau jabatan dengan pembayaran gaji, imbuhan serta elaun yang setimpal.
• Penafian terhadap salah satu daripada hak-hak tersebut akan menyebabkan pencabulan terhadap hak kemanusiaan.
• Kebebasan yang diberikan adalah tidak mutlak.
• Kebebasan yang diberikan tidak boleh digunakan untuk mendatangkan ancaman kepada pihak-pihak lain atau mencabul kebebasan pihak lain.


Terdapat perbezaan pendapat dalam mendifinisikan tentang pengurusan dan pentadbiran dalam islam. Diantara sistem pengurusan dan pentadbiran yang terbaik untuk diikuti adalah sisitem pengurusan dan pentadbiran secara islam kerana  sistem pengurusan dan pentadbiran secara islam menjadikan sesebuah organisasi itu lebih berdisplin dan  ia berlandaskan Al-quran dan sunah.Selain itu,.ia juga dapat membantu mewujudkan suasana yang damai.  ( video bersumberkan dari youtube ) - https://www.youtube.com/watch?v=BGYZYyh8ZrE



No comments:

Post a Comment